Manifesto Barisan Nasional (BN) perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas iaitu merupakan kesinambungan kepada legasi BN yang sudah mentadbir sekian lama.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan kebimbangan sekiranya apa yang diusahakan BN selama ini terhenti sekiranya parti lain naik mentadbir sebagai kerajaan baharu.

“BN perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas lagi, lebih panjang lagi bahawa manifesto ini adalah merupakan kesinambungan kepada legasi BN yang sudah sekian lama.

“Kita bimbang sekiranya naik parti lain mereka bercakap bagaimana untuk mebunuh legasi ini, sebab itu dahulunya projek ECRL mereka bimbang ini legasi BN, jadi mesti dihentikan.

“PN misalnya bila menjadi Perdana Menteri sekejap, ketua dia telah membunuh SSR kerana dia bimbang ini adalah legasi BN dan kalau boleh nak bunuh semua apa yang dikaitan dengan legasi BN,” ulasnya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau menambah, terdapat banyak projek-projek besar yang diusahakan kerajaan BN dihentikan ekoran perubahan kerajaan sebelum ini. Ia dilihat sebagai perkara yang sangat tidak wajar.

Justeru, beliau memberi penekanan kepada calon yang berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini untuk fokus perjelas kepada rakyat manfaat PADU sebagai penerusan legasi BN selama ini.

“Kalau kita lihat semua perkara-perkara yang besar, dari lebuh raya yang ada, sekolah, hospital, klinik, peningkatan pendapatan rakyat, penjenamaan negara daripada yang besar sehinggalah perlaksanaan projek-projek Lebuhraya Pan Borneo yang pernah kita rancangkan tetapi terhenti apabila perubahan kerajaan dan sebagainya, adalah merupakan legasi BN yang akan diteruskan selepas tanggal 20 hari bulan ini, jadi ini mesti dilihat BN manifestonya adalah penerusan kepada legasi yang telah ada.

“Perkara yg menjadi fokus untuk rakan-rakan terutama sekali calon yang berkempen sekarang ini, mereka mesti beri tahu bahawa kerajaan tidak bermula pada 20 hari bulan Novermber, ramai yg menganggap kalau menang ini yang nak dibuat seolah-olah kerajaan bermula pada 20 November,” katanya lagi.

Selain itu, Shabery turut menekankan tentang kebolehpercayaan rakyat untuk parti untuk melaksanakan apa yang dijanjikan.

Jelasnya, BN perlu beri tumpuan dalam gerak kerja untuk meyakinkan rakyat parti yang boleh dipercayai ialah BN.

Di bawah PADU, terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan dalam mengemudi negara, disamping pelan serius dan rasional serta mempunyai sasaran yang jelas demi kemaslahatan semua.

Lima idea besar yang mendasari tawaran utama di bawah PADU iaitu penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi, tekad dan nekad BN melakukan beberapa pembaharuan radikal dan bersifat struktural dalam negara kita serta keterangkuman dan pengiktirafan kerencaman.

Selain itu, idea PADU untuk menggandakan usaha meletakkan asas-asas penting mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua dan kejayaan 99 perkara dalam PADU ini bergantung kepada bagaimana BN mengamal dan mengusahakan dengan berstrategi.