Masih tiada ketetapan logo, rakyat jadi mangsa ketidakstabilan
Ketidaksepakatan parti gabungan yang masih berkira-kira mengenai logo yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas menunjukkan mereka masih mementingkan kedudukan dan kuasa masing-masing.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP sebelum ini menyatakan tidak akan menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) di kawasan tertentu sebaliknya akan menggunakan logo roket.
“Pemimpin Pas mahu gunakan logo bulan di negeri dikuasainya walau telah ‘mengikrarkan kesetiaan’ kepada Perikatan Nasional (PN).
“Tentu ramai masih ingat PKR walaupun parti komponen PH menggunakan logo sendiri dalam PRN sebelum ini.
“Jelas memberi mesej mereka ini sanggup `tidur sebantal’ demi merebut kuasa, tetapi `mimpi adalah lain-lain’,” kata Zahid dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Tegas Zahid, perilaku tersebut boleh diibaratkan sebagai anasir ‘senyap’ sekaligus membawa kepada pembentukan kerajaan yang tidak stabil dan tidak terurus.
Perkara asas yang sepatutnya boleh diselesaikan juga sukar untuk mereka saling sepakat dan bekerjasama dalam memilih penggunaan logo.
“Pada akhirnya yang menjadi mangsa kepada ketidakstabilan ini adalah rakyat dan negara. Bagi BN logo dacing berwarna putih dan berlatarbelakangkan warna nilakandi lambang gabungan ini sejak dulu hingga kini.
“Lambang sebuah kerjasama dan kebersamaan setiap komponen parti politik yang bernaung dibawahnya. Neraca perikatan dan kesepakatan bergandingan bahu membawa Kestabilan dan Kemakmuran,” jelas Zahid.
Dalam pada itu, Zahid menegaskan kepada rakyat untuk bijak menilai setiap perbezaan demi menentukan masa depan negara melalui PRU15 kelak.
Selain itu, rakyat perlu meletakkan keyakinan terhadap BN kerana parti tersebut adalah satu-satunya gabungan politik yang mampu menawarkan sebuah kemuafakatan disamping berpegang kepada perpaduan yang jujur dan ikhlas.
“Dunia telah diramalkan bakal berdepan kemeseletan ekonomi global pada tahun depan.
“Negara kita perlu berada dalam posisi paling kukuh dan stabil untuk mendepaninya,” tambah Zahid.