‘Mat Kilau’ sedia bantu jentera Pemuda BN

Datuk Adi Putra bersedia membantu jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk berkempen ke setiap negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Hero filem Mat Kilau itu juga telah diangkat menjadi ikon Pemuda BN Selangor.
“Beliau tak dapat bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini kerana berada di Tanah Suci,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Selasa.
Menerusi hantaran itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima kunjungan pelakon tersohor tersebut yang juga sahabatnya.
Asyraf turut berkongsi dua keping gambar pertemuan di pejabatnya di Kuala Lumpur termasuk salah satu gambar menunjukkan Adi Putra menerima baju Pemuda BN.
Menurut Asyraf Wajdi, selain mengenai politik, banyak perkara dibincangkan ketika perjumpaan berkenaan.
“Hikmah meletupnya filem Mat Kilau, banyak membuka mata anak-anak muda untuk menelaah sejarah tanah air dengan penuh penghayatan,” katanya.