Melayu perlu bersatu, jangan berpecah-belah – Razlan
“Orang melayu jika tidak bersatu hati, kuasanya akan diberi kepada orang bukan melayu.”
Ini kenyataan yang dikeluarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berkenaan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang menolak sebarang kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Ini bukan kali pertama Pas menolak pelawaan BN untuk bergabung. UMNO pernah menawarkan kerjasama sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka lagi tetapi mereka tetap menolak.
“Sehingga ke hari ini, walaupun beberapa hari sebelum penamaan calon Pas masih menolak ajakan BN,” katanya ketika ditemubual menerusi rancangan Bicara Nasional.
Mengulas lanjut, beliau mengatakan walaupun Pas tidak mahu mengadakan kerjasama BN, Barisan Nasional akan tetap meneruskan perjuangan agenda pembangunan ummah dan negara Malaysia.
“Bagi saya, ini merupakan perkara yang lepas. Usaha untuk melihat Melayu bersatu dan bermuafakat telah digagalkan disebabkan perebutan kuasa dan perebutan kerusi Parlimen.
“UMNO akan usahakan yang terbaik. Selagi orang melayu tidak dominan dan bersatu hati untuk menyokong BN, agak sukar untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan dominan apabila rakyat Melayu berpecah pecah memilih Perikatan Nasional (PH) atau Pakatan Harapan (PH).
“Sebab itu di dalam manifesto PADU-BN, kita ada menyebut ingin meneruskan agenda Darul Quran di mana untuk melahirkan pelajar yang celik Al-quran dan mencintai Al-Quran serta mewujudkan pusat tahfiz, ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar masyarakat Melayu menyedari perjuangan yang di bawa oleh BN adalah untuk penyatuan ummah dan bukan bertujuan sebaliknya.
“Saya merayu kepada orang Melayu hari ini cubalah bersatu hati dan jangan berpecah-belah.
“Undilah Barisan Nasional untuk menunjukka BN sebuah kerajaan yang kuat dan membela ummah,” katanya.