Pembangkang semakin hangat menggunakan isu banjir untuk mengelak Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, hasutan pembangkang tersebut menjadikan segelintir anggota kerajaan terpengaruh tanpa menilai perspektif yang meluas.

“Kebimbangan sebenar pembangkang ialah apabila pengundi Melayu yang mewakili populasi negara terbesar kurang berminat untuk menyokong gabungan tersebut ketika gendang pilihan raya dipalu BN

“PH hampir menemui jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan selain memerlukan lebih banyak masa. Dengan kata lain, PH cuba ‘membeli masa’ untuk melengahkan pilihan raya umum diadakan,” jelas Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya.

Dalam pada itu, sumber yang diperolehi daripada portal Malaysianow, pembangkitan isu bencana banjir diberitahu kepada pemimpin gabungan PH bagi mengelak langkah pembubaran Parlimen dalam masa terdekat termasuklah isu kenaikan inflasi.

Selain itu, menurut Zahid, portal tersebut ada menyatakan mereka juga ada memberikan tugas kepada beberapa badan pemikir untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH malah dijemput untuk membentangkan penemuan antara mereka.

“Daripada pembentangan data daripada tinjauan berasingan tersebut didapati penemuan utama ialah sokongan Melayu terhadap PH berada pada tahap paling rendah.

“Malah dikatakan tinjauan tersebut mendapati PH tidak akan mendapat lebih daripada 15 peratus undi Melayu pada PRU 15 jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau mempersoalkan pertemuan tersebut yang langsung menyentuh mahupun membentang kepada fakta banjir yang mereka gembar-gemburkan.

Ianya termasuklah dengan strategi yang boleh mereka lakukan demi menyantuni rakyat apabila berlakunya banjir kelak.

Zahid menjelaskan, susulan tinjaun undian Melayu tersebut menjadikan keputusan PRU15 tidak akan memihak kepada PH kerana pengundi Melayu ketika ini lebih fokus kepada kebangkitan dan pemulihan yang dilakukan UMNO.

“Tidak pula dibentangkan strategi menangani inflasi untuk Malaysia yang kini melanda seluruh dunia sebaliknya pembangkang hanya lebih berminat untuk cuba memikirkan strategi untuk menang PRU daripada memikirkan masalah rakyat dalam pemukiman tersebut.

“Ini menunjukkan sikap sebenar pembangkang. Yang anehnya terdapat sekutu bersama UMNO masih lagi terpedaya dengan dakyah pembangkang tersebut.

“Atau mereka sebenarnya ada motif mereka sendiri yang mereka sendiri untuk melengahkan pilihan raya umum sebelum musim tengkujuh bermula,” tegas Zahid.

Sehubungan itu, Zahid menegaskan beliau akan memperincikan dengan lebih lagi segala dakyah dan mitos naratif musuh politik dalam masa terdekat.