Slogan Perikatan Nasional (PN) di Johor, ‘Abah Prihatin Bangsa Johor’ dilihat tidak selayaknya digunakan jika merujuk kembali kepada kerosakan yang dibawa mereka di negeri tersebut.

Menyelar penggunaan slogan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mendakwa Calon PN Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau mesra digelar ‘Abah’ sudah ditolak di negeri Johor menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu apabila PN hanya memenangi tiga kerusi.

Mempersoalkan tahap keprihatinan bekas Perdana Menteri itu di Johor, Puad memetik kerugian dan kegagalan PN di negeri tersebut agar rakyat dapat menilai.

“Apa yang Abah perihatin? Dia membisu bila Johor hilang Pulau Batu Putih selama-lamanya. Dia bersekongkol dengan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Dia juga membisu bila High Speed Rail (HSR) dibatalkan. HSR adalah ‘game changer’ yang menguntungkan Johor kerana akan dapat dua stesen iaitu Muar dan Batu Pahat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Puad menambah, banyak tanah yang merupakan aset penting di Johor tergadai semasa Muhyiddin memerintah dan rakyat juga terbeban menanggung hutang daripada kerugian yang berpunca dari PN.

“Muhyiddin adalah PM gagal. Masa jadi MB Johor banyak tanah tanah ‘prime’ terjual seperti Mount Austin. Jangan lupa bagaimana Johor kehilangan 40 ribu ekar tanah KEJORA.

“Ramai rakyat Johor yang menanggung hutang bank dan keriugian kerana beli Amanah Saham Johor (ASJ) yang diperkenalkan Muhyiddin. Mana perihatinnya?,” ulasnya.