PADU BN bakal akhiri sandiwara ketidakstabilan politik Malaysia – Dr Shamsul Anuar
Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia (PADU) bakal akhiri sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik serta kerajaan Malaysia.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa PADU hanya sebuah manifesto yang tidak realistik.
“BN mahu mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat. Kerana itu BN membariskan calon-calon yang 85 peratus punyai latarbelakang pendidikan terbaik serta punyai tahap kesetiaan yang tinggi pada negara, parti dan mampu berbakti kepada rakyat. Inilah pasukan yang akan melaksanakan PADU.
“BN berharap pengundi memberikan mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan dapat BN laksanakan PADU dengan lebih berkesan.
“Malah melaluinya BN mahu menamatkan segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan sekali gus menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan,” katanya kepada BN Comms hari ini.
Di samping itu, Dr Shamsul yang juga calon BN Parlimen Lenggong berkata, BN akan melaksanakan segala perancangan yang telah dinyatakan dalam PADU BN bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia. Ini kerana segala yang diumumkan itu telah melalui proses yang teliti dan kajian yang mendalam.
“Insya-Allah, perancangan ini akan dicapai dan yang penting kandungan PADU benar benar perancangan yang teliti dimana semuanya bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan dan mengutamakn keterangkuman.
“Kami (BN) akan menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera serta makmur dan yang penting negara serta rakyat adalah keutamaan BN,” katanya.