PADU BN bawa amal dan usaha sebagai tawaran utama
Ketua Penerangan Veteren UMNO, Datuk Zainal Abidin Sakom menegaskan, manifesto PADU Barisan Nasional (BN) membawa amal dan usaha sebagai tawaran utama sekiranya menjadi kerajaan.
Beliau berkata, BN telah memberikan tawaran yang istimewa kepada pengundi walaupun bahasa yang digunakan adalah ringkas.
“Dari segi falsafah, bila sebut PADU maka apabila sesebuah parti diberikan mandat menjadi kerajaan, tugasan pertama ialah cegah kemungkaran dan buat kebajikan.
“Jadi kita nampak BN telah memilih amal dan usaha untuk menentukan apa yang perlu dilaksanakan serta memilih ahli-ahli parlimen mahupun menteri yang bertaraf amal soleh,” kata Zainal dalam program temu bual Bicara Nasional malam tadi.
Jelas beliau, 99 tawaran yang ditawarkan oleh BN adalah sesuatu yang menarik kerana ianya berdasarkan kepada 99 Asma-ul-Husna dan meletakkan tekad menghapus kemiskinan sebagai tawaran yang pertama.
Tawaran seperti Skim Bantuan Pendapatan Asas yang akan dikreditkan secara automatik dapat memastikan terhapusnya kemiskinan tegar yang berlaku dalam negara.
“Dengan tawaran ini, hanya dengan satu pangkah sahaja tiada lagi orang miskin. Saya beri penghormatan penuh kepada BN kerana meletakkan tekad membasmi kemiskinan sebagai nombor 1,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila melihat gelombang pengundi orang muda atas 18 tahun amat memberangsangkang.
Jentera Pemuda BN berjaya mendekati mereka sekaligus menggunakan veteran-veteran BN dapat menjelaskan maksud sebenar politik dan bukan hanya menilai berdasarkan khabar angin.
“Sebagai contoh di tempat saya calon dari MIC tetapi orang atas menyatakan undi mesti diberikan kepada orang Melayu. Kita kena jelaskan dengan bahasa yang mudah kenapa kita ambil calon India.
“Ini adalah kerana Mohan daripada BN. Pimpinan BN sendiri adalah Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadikan BN itu dipimpin oleh Melayu dan Islam,” jelasnya lagi.