PADU BN: Isu alam sekitar perlu dipuji, disokong rakyat – Dr Azmi Hassan
Manifesto Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) Barisan Nasional (BN) untuk Malaysia yang diumumkan baru-baru ini harus dipuji dan disokong oleh semua lapisan masyarakat tidak kira perbezaan ideologi politik mereka.
Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, manifesto itu menekankan pemuliharaan alam sekitar kerana BN serius dengan isu perubahan alam sekitar.
Katanya, kerajaan terdahulu tidak tegas dalam menangani isu perubahan iklim.
“Selalunya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dianggap tidak penting.
“Tapi bila ada dalam manifesto BN, ia menganggap ini adalah tanggungjawab yang penting,” katanya kepada BN Comms.
Selain itu, Azmi turut mengharapkan dengan janji yang BN berikan ini mampu memberi nafas baharu kepada KASA.
“Saya menganggap bila mana diletakkan dalam manifesto, maka akan dilantik seorang menteri yang betul-betul berkelayakan,” katanya.
BN menekankan pemulihan alam sekitar dengan menyasarkan penggunaan 30 peratus sumber yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2030.
Ia bertujuan bagi memastikan amalan ekonomi bersifat lestari serta membanteras secara besar-besaran penyalahgunaan kuasa yang mengorbankan alam demi keuntungan.
Ini selari dengan Persidangan Parti-Parti UNFCCC ke-27 (COP 27) di Mesir.