Parti lawan memperjudikan nasib kepada cuaca – Shabery
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin Barisan Nasional (BN) mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun berlakunya banjir ataupun tidak.
Shabery berpendapat parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dan negeri-negeri yang mereka kuasai kerajaan negeri terlalu memperjudikan nasib kepada cuaca.
“Jika tidak banjir orang boleh mengundi seperti biasa, mereka akan mengalami kerugian besar dari segi imej dan dari segi keyakinan rakyat terhadap mereka.
“Mereka telah membuat satu pertimbangan yang besar untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mereka kuasai dengan menguar-uarkan pilihan raya tidak berlaku kerana akan berlakunya banjir besar,“ kata Shabery.
Jelasnya dengan mempercayai akan berlakunya banjir hanyalah alasan untuk PH dan PN untuk tidak membubarkan kerajaan negeri.
“Kalaulah prestasi mereka baik, mengapa mereka tidak bubar? Tanya berkali-kali kalau mampu mengendalikan negeri kamu dengan baik, bagus Kelantan, bagus Terengganu, bagus Kedah, mengapa kamu tidak bubar untuk memberi mandat kepada rakyat?
“Jadi mereka memperjudikan nasib mereka pada cuaca yang adakah akan berlakunya banjir hingga orang tak boleh turun mengundi pada 19 November ini,” tambah Shabery menerusi satu sidang media di BN Comms.
Shabery jugak optimis dan yakin kemenangan akan menyebelahi BN ekoran rakyat sudah pandai menilai mana yang betul dan mana yang tipu.
Katanya naratif mereka yang tidak mahu membubarkan dan ingin adakan pilihan raya lain pasti akan memakan diri dan beri kesan negatif kerana rakyat terpaksa balik kampung sekali lagi.