Pas dan Bersatu ibarat kahwin mutaah, tak kan kekal bersama
Gabungan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti perkahwinan mutaah yang tidak akan kekal bersama.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, gabungan itu dijangka hanya bersifat sementara kerana PasS mempunyai pendirian sendiri dalam membuat keputusan manakala Bersatu pula sebuah parti yang penuh emosi.
“Saya fikir gabungan Pas dan Bersatu ini adalah satu perkahwinan yang istilahnya dipanggil mutaah, perkahwinan sementara.
Pas pun ada pemikiran sendiri dalam nak buat keputusan, Bersatu macam penuh dengan emosi dan saya fikir mereka tak mempunyai pendirian bersama,” katanya selepas Program Pekebun Kecil Risda Makmur Negeri Kedah di Kampung Musa, Pedu hari ini.
Mahdzir yang juga penyandang dan calon BN bagi Parlimen Padang Terap diminta mengulas perbezaan pendirian antara Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kerjasama antara parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Mahdzir berkata, BN kekal mencadangkan nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya diberi mandat pada PRU15.
“UMNO dan BN telah memutuskan secara konsensus bahawa Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri selepas daripada PRU15 jika BN menang tapi isu ni macam selalu dimainkan oleh pembangkang, mereka nak cari jalan untuk nak memecah belahkan kepimpinan dalam BN,” katanya.