Pas dan PN perlu bertanggungjawab kenyataan kontroversi Zul Huzaimy
Tindakan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan kenyataan kontroversi yang dikeluarkan aktor Zul Huzaimy adalah tidak mewakili Pas dan disifatkan tidak bertanggungjawab.
Pengarah Komunikasi BN Comms, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, Pas dan Perikatan Nasional (PN) seharusnya lebih peka terhadap ucapan dikeluarkan oleh ahli mereka yang dikhuatiri mampu mengundang perspektif negatif masyarakat.
“Sama ada mewakili Pas atau PN, kenyataan ini tetap datang daripada kepimpinan PN.
“PN dan Pas seharusnya bertanggungjawab atas apa yang diucapkan oleh ahli mereka. Ini merupakan pengajaran kepada mereka, jangan sesekali mengeluarkan kenyataan begini kerana ia boleh mengundang suasana tidak baik terhadap masyarakat,” kata beliau menerusi satu hantaran Facebooknya.
Terdahulu, kenyataan kontroversi Zul Huzaimy menerusi satu rakaman video pada satu program dipercayai anjuran Pas di Terengganu baru-baru ini telah mengundang kecaman pelbagai pihak.
Berdasarkan ceramahnya, dia yang lebih dikenali sebagai Spark dalam filem Remp-It menyatakan sekiranya tiada undang-undang, sudah lama dirinya akan menyembelih orang kafir harbi di Malaysia.