“Gunakan politik untuk memperkuatkan agama, bukan menggunakan agama untuk memperkuatkan politik.”

Itu antara pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Pas memandang rendah Barisan Nasional (BN) dengan gelaran haiwan dan tumbuhan tetapi melenting apabila mendengar istilah `pak lebai’.

Ahmad Zahid berkata, istilah ‘pak lebai’ dipopularkan oleh sahabat baru mereka pada tahun 2017 oleh bekas Timbalan Presiden PKR merangkap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau kini merupakan Pengarah Pilihan Raya gabungan Perikatan Nasional (PN) yang pemimpin Pas sedang tumpahkan taat setia.

“Sendiri makan cili, sendiri terasa pedas. Bukankah istilah `pak lebai’ lebih harmoni berbanding gelaran `itik’ dan ‘durian’.

“Jadi, seharusnya pemimpin Pas bertanya kepada pengarah pilihan raya gabungan baharu mereka itu mengenai istilah `pak lebai’.

“Bagaimana beliau memperoleh ilham tersebut dan mengapa beliau ‘menobatkan’ Pas sebagai parti ‘pak lebai’.

“Kesimpulannya jangan kerap melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif kerana berasa diri terlalu suci murni,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, keengganan UMNO-BN memenuhi keinginan mereka, mereka sanggup menggelar UMNO-BN sebagai haiwan dan seumpamanya.

Sedangkan mereka sendiri tidak suka dikaitkan dengan sesuatu gelaran walaupun hanya `pak lebai’.