Pas tahu Bersatu berhadapan dengan jalan yang sukar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadikan mereka goyah dengan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek berkata demikian bagi menyelar kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan Barisan Nasional (BN) dan PN akan membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Takiyuddin dah tahu bahawa mereka tak mampu untuk membentuk kerajaan dan bergantung kepada parti lain. Apa yang paling serius adalah kerana mereka tahu pemimpin Bersatu akan berhadapan dengan jalan sukar.

“Di Pagoh besar kemungkinan pemimpin Bersatu akan kalah kerana sokongan dari pengundi Cina lebih memilih BN serta PH dan ini menyebabkan Bersatu-PN di sana mengalami kekalahan,” kata Shabery dalam satu sidang media hari ini.

Selain itu, beliau juga menekankan Pas kini hanya bergantung kepada parti yang besar dan berpotensi bakal hilang ramai pemimpin besar mereka.

Ini kerana, Pas sendiri tidak mampu untuk menamakan seorang pemimpin mereka yang mempunyai kelayakan atau kekuatan untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Tegasnya, Pas yang berhadapan dengan dilema dan bergantung kepada personaliti Bersatu sekali gus menjadikan Takiyuddin seolah-olah cuba memancing untuk mencari tokoh yang datangnya daripada BN untuk mereka menumpang kerajaan yang dapat dibentuk oleh BN selepas PRU15.

“Saya nasihatkan elok pemimpin-pemimpin Pas turun ke Pagoh baru mereka boleh bercakap tentang menubuhkan kerajaan mereka kerana Pagoh berada dalam keadaan yang getir,” ujarnya lagi.

Menjawab soalan mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan beliau tidak merestui kenyataan Takiyuddin, Shabery menekankan perkara tersebut menunjukkan mereka dalam keadaan kucar-kacir.

“Bagaimana seorang pemimpin Pas sudah mendahului keputusan yang mereka pernah buat. Ini kerana mereka tidak yakin dengan Muhyiddin dan kenyataan Muhyiddin menunjukkan beliau tidak senang dengan rakan mereka dalam PN,” tambahnya lagi.