Pas, PN seperti tidur sebantal, mimpi lain-lain – Lokman Adam
Gabungan Pas dan Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan tidak membawa haluan yang sama dan umpama tidur sebantal mimpi lain-lain.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata demikian bagi menyelar kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan Barisan Nasional (BN) dan PN akan membentuk kerajaan selepas PRU15 sedangkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hal sebaliknya.
“Perkara ini sama seperti gabungan UMNO dan Bersatu dahulu, masing-masing berebut kumpulan sasar yang sama dan akhirnya gabungan bersama musuh politik itu tidak membawa kestabilan.
“Jadi jika pakatan bersama musuh politik ini berterusan, ia tidak akan memberikan kestabilan kepada sesebuah negara kerana kerajaan boleh bertukar bila-bila masa,” katanya kepada BN Comms hari ini.
Tambah beliau, bagi memastikan ketidakstabilan kerajaan daripada berulang dan pertukaran kuasa begitu kerap, rakyat disarankan mengundi BN.
“BN sudah terbukti terbaik selama 61 tahun kita mentadbir negara kerana parti ini menjaga kepentingan semua kaum dan kita telah mentadbir ekonomi dengan cukup baik.
“Dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis kewangan, ekonomi, makanan, bencana alam yang bakal mendatang, kedudukan matawang yang sangat rendah, kejatuhan bursa saham Kuala Lumpur, maka sewajarnya mandat diberikan kepada parti yang berpengalaman memulihkan ekonomi negara.
“Saya yakin, antara sebab mengapa BN yakin bergerak secara solo adalah formula gabungan bersama musuh politik tidak akan membuahkan kestabilan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar BN berjaya pada PRU15 nanti dan mampu mentadbir kerajaan sendiri tanpa gabungan daripada parti lain.
“Jika kita bergabung dengan PN, kita akan dilanda malapetaka sekali lagi kerana perlu mengikut kehendak mereka,” ujarnya.