Pembangkang namakan Ahmad Zahid sebagai calon PM untuk kelirukan pengundi
Pembangkang tidak perlu menjadikan isu calon Perdana Menteri (PM) sebagai bahan kempen kerana Barisan Nasional (BN) telah membuat ketetapan Datuk Seri Ismail sebagai calon PMi jika berjaya menguasai Putrajaya.
Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar menegaskan, satu undi yang diperoleh BN bermakna, undi untuk Ismail Sabri.
“Pihak pembangkang tidak perlu campur urusan dalaman Umno berkaitan soal calon PM.
“Parti telah membuat keputusan jelas menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM dan disambut baik hampir tiga perempat bahagian UMNO di seluruh negara.
“Tindakan pembangkang menamakan (Pengerusi BN) Ahmad Zahid adalah untuk megelirukan pengundi,” katanya.
Sebelum ini, UMNO kekal menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM jika BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO menafikan dakwaan pembangkang yang beliau akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak akan melangkaui kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan seorang PM.
Dalam pada itu, Rizalman berkata, pembangkang juga cuba menimbulkan persepsi bahawa wujud masalah antara PM dan Presiden UMNO.
“Satu undi untuk BN, satu undi untuk PM bagi membolehkan Belanjawan 2023 yang dibentang dapat dilaksanakan,” katanya.