Pembangkang diingatkan agar mencontohi Barisan Nasional yang berusaha membawa rakyat ke arah politik kestabilan, kerana politik yang stabil mampu membawa rakyat ke arah kemakmuran.

Exco Puteri UMNO, Dr. Masliha Harun dalam ucapannya di Pentas Barisan Nasional malam tadi berkata, Malaysia telah mengalami fasa yang bersejarah apabila negara telah ketinggalan jauh ke belakang berbanding dengan negara jiran Indonesia, Singapura dan Thailand termasuklah kehilangan kepercayaan dari kalangan pelabur.

“Seperti yang kita sedia maklum, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu bertahan 22 bulan dan tumbang dengan sendirinya setelah Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan.

“Di ganti pula dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan dan kini kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri daripada UMNO dan Barisan Nasional.

“Kita telah lalui fasa yang bersejarah di mana satu kali mengundi tapi dapat tiga perdana menteri. Bagaimanakah perkara ini berlaku? Kata kuncinya adalah tiada kestabilan politik yang jelas,” katanya.

Menurut Masliha, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca ketidakstabilan politik tersebut termasuklah perbezaan ideologi di kalangan parti-parti yang bergabung dalam pakatan tersebut.

Di samping itu, perebutan kuasa atau jawatan perdana menteri juga menjadi penyumbang kepada ketidakstabilan politik, selain kegagalan pentadbiran dan menteri yang dilantik tidak mempunyai pengalaman dan beberapa sebab lain.

Seterusnya, ketidakstabilan berkenaan turut memberi kesan terhadap pelaksanaan polisi kerajaan.

“Polisi yang baik tidak dapat dilaksanakan, malah sentiasa berubah-ubah mengikut kerajaan yang baharu. Masalah ekonomi dan peluang pekerjaan yang mengucup,” tambah Masliha.