Kegembiraan musuh Barisan Nasional (BN) yang meraikan berita pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak tidak bertahan lama kerana jangkaan BN akan jatuh kerana hal tersebut tidak berlaku.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ramalan dengan pemenjaraan Najib akan menamatkan aura ‘Bossku’ sekaligus melemahkan BN ternyata meleset kerana hal sebaliknya yang berlaku.

“BN terus mara. Jasa dan budi ‘Bossku’ tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran di sebalik kebenaran.

“Sekali gus melonjakkan lagi keyakinan dan kepercayaan majoriti rakyat untuk memberi kemenangan besar kepada BN dalam PRU-15 akan datang,” kata Zahid dalam kenyataan yang diambil dari posting Facebooknya.

Menurut beliau, pengertian mengenai ‘character assassination’ perlu diketahui oleh setiap orang dalam memahami isu kod ‘merpati’ yang ketika ini sedang dimainkan oleh pembangkang.

Hal ini kerana ‘character assassination’ atau kata lain pembunuhan karakter menjadi senjata politik bagi musuh BN yang bertujuan untuk ‘membunuh’ nama baik seteru politik mereka dan mereka berharap penjarakan Najib akan dapat ‘membunuh’ beliau.

Namun begitu, seruan ‘Bossku’ masih lagi menjadi sebutan di bibir rakyat sehingga kini sekaligus membuatkan lawan BN seriau dan masih meneruskan misi pembunuhan karakter ‘Bossku’ walaupun Najib berada dalam tahanan.

“Namun kita percaya dan yakin niat jahat lawan BN itu tidak akan berhasil kerana mereka terlepas pandang perkara pokok tentang ‘Bossku’.

“Seperti pernah dijelaskan Najib Razak makna sebenar slogan ‘Bossku’ adalah rakyat. ‘Bossku’ yang sebenar disebalik istilah itu adalah rakyat,” ujar Zahid.

Zahid menegaskan, mustahil untuk lawan BN ‘membunuh’ atau menghapuskan aura ‘Bossku’ yang hakikatnya adalah rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, beliau turut berpegang pada kata-kata Najib sebelum ini yang mengatakan,

“Bila kata ‘bossku’ pada saya, saya ingatkan diri saya bos adalah rakyat. Bila kata bosku bukan bererti bos sebenar. Rakyat jadi bos kita”