Cadangan untuk menyelesaikan masalah negara dengan memotong gaji menteri adalah idea bodoh dan bukan satu saranan yang bagus daripada seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membidas kenyataan  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau akan memotong gaji menteri dan menghalang keluarganya daripada menerima projek kerajaan jika Pakatan Harapan (PH) berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Lokman menyifatkan kenyataan Anwar hanya sembang kosong dan tidak menyelesaikan masalah ekonomi negara.

“Anwar tak perlu sembang tentang potong gaji. Jika potong 100 peratus sekalipun ia tidak akan menyumbang banyak bagi menyelesaikan masalah ekonomi negara.

“Sepatutnya dia perlu fikir bagaimana hendak menambahkan sumber pendapatan negara atau memastikan Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil bumi seperti petroleum dan elakkan  daripada kebergantungan terhadap cukai langsung,” katanya kepada BN Comms hari ini.

Tambah Lokman, semasa pemerintahan PH, kadar defisit belanjawan negara telah meningkat mendadak berbanding semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, beliau berjaya menurunkan 6.7 peratus pada tahun 2009 sehingga 3 peratus pada tahun 2017. Tetapi apabila PH memerintah, defisit meningkat dengan dahsyat sekali.

“Idea-idea bodoh seperti ini tidak perlu menjadi pertimbangan kepada rakyat. Jika semasa menjadi Penasihat Ekonomi Selangor dahulu dia (Anwar) kononnya minta gaji RM1, namun selepas itu dia minta claim balik RM1 Juta,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Anwar melarang keluarganya daripada menerima sebarang projek daripada kerajaan, Lokman menegaskan ia hanyalah satu pembohongan besar Anwar untuk memperdayakan rakyat.

“Cakap lain tetapi buat lain. Dia tak larang pun isteri dan anak perempuannya berada dalam kerusi Parlimen, bagaimana dia nak halang keluarganya yang lain mendapat peluang projek kerajaan? Nampak tak masuk akal apa yang dia cakap tu.

“Realitinya semasa dia menjadi Timbalan Perdana Menteri, kita boleh lihat bagaimana keluarganya kaya raya dengan projek IOI dan ada 15 kroni beliau yang dapat projek Pancabumi berjumlah RM1 bilion secara langsung daripada Anwar sendiri ketika beliau menjadi menteri kewangan dahulu.

“Rakyat perlu bijaksana, jangan mudah terpedaya dengan janji manis anwar ibrahim,” katanya.