Datuk Zahidi Zainul sering menjadi tajuk berita kerana kenyataan-kenyataan yang dibuatnya di dalam dan di luar parlimen.

Pada tahun 2020, ramai rakyat terkilan dengan kenyataan beliau yang menafikan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab soalan peperiksaan.

Bila sudah tersilap fakta, dituduhnya pula salah Menteri Kewangan, sedangkan dia juga yang melancarkan kempen ‘tak pasti jangan kongsi’.

Bukan itu sahaja, agak mengejutkan apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu tidak mengetahui tentang tujuan kerajaan menjalankan Projek 5G sedangkan dia sendiri yang melancarkan projek tersebut.

Paling mengejutkan apabila Zahidi menyalahkan SKMM dan pengawal selia di bawah kementeriannya sendiri kerana tidak mengambil tindakan untuk meningkatkan liputan internet di kawasan kurang capaian, semasa menjawab soalan di Parlimen.

Inikah contoh terbaik untuk menjadi pemimpin? Setiap kali melakukan kesilapan hanya tahu menuding jari kepada orang lain dan umpama baling batu sembunyi tangan. Rasa-rasanya, pemimpin bersifat seperti inikah yang akan menjadi pilihan rakyat?

Selepas tidak dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Besar, beliau bertegas untuk bertanding atas kapasiti calon bebas bagi mempertahan kerusi itu yang kononnya sebagai tanda protes terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, keputusan yang dibuat Ahmad Zahid merupakan satu pengkhianatan, tidak berjiwa besar, bercelaru dan cuba menipu UMNO dengan menuduh orang lain tidak berjiwa besar.

Jika Zahidi sudah cukup berjiwa besar, mengapa beliau tidak mempertahankan haknya di dalam parti dan memilih untuk bertanding atas calon bebas?

Jika benar Ahmad Zahid cuba menipu UMNO selama ini, mengapa Zahidi masih setia berada di dalam UMNO? Mengapa hanya bertindak selepas nama digugurkan? Tidakkah tindakkannya itu seperti talam dua muka?

Jangan berbicara soal intergriti jika diri sendiri yang menunjukkan ‘kebodohan’ secara terbuka.

Zahidi seharusnya tidak menjadi kacang lupakan kulit. Jika tidak kerana jasa Ahmad Zahid yang mempertahankan kedudukannya untuk berada dalam UMNO, beliau sudah pasti dibuang kerana secara terang-terangan melawan gagasan UMNO dan mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid.

Inilah jadinya bila kaduk naik junjung. Bila berasakan dirinya terlalu sempurna dan mulia daripada orang lain, habis dilupakan segala jasa orang yang pernah menaikkan dirinya satu ketika dahulu.