Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memohon maaf kepada semua angkatan tentera atas penghinaannya yang menuduh tentera mengundi awal di Bera dibayar RM300.

Tindakan Anwar seolah-olah menghina dan menggelar 146,737 pengundi tentera dan pasangan mereka sebagai penerima rasuah.

Menerima rasuah adalah suatu jenayah, apakah Anwar berpendapat bahawa anggota tentera kita adalah kesemuanya penjenayah?

Mengapa pegawai kerajaan perlu diheret dalam kancah politik sedangkan mereka laksanakan dasar yang diputuskan oleh kerajaan?

Ini terbukti menunjukkan PH berulang kali menghina anggota perkhidmatan awam, dan terkini adalah anggota tentera.

Ramai pasukan tentera dan anggota polis telah terkorban demi mempertahankan negara bermula zaman Komunis dan zaman darurat.

Namun, jasa mereka tidak diangkat sewajarnya malah, ada juga parti yang menghina sejarah dengan mengubah fakta menyatakan bahawa Komunis dan Chin Peng adalah pejuang negara.

PH seharusnya bertanggungjawab di atas tindakan mereka jika tidak, anggota tentera termasuk anggota keselamatan serta pegawai kerajaan akan menghukum mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mungkin Anwar lupa, anggota tentera lah yang menggadai nyawa mereka setiap hari untuk melindungi Malaysia.

Wira-wira ini sepatutnya dipuji dan bukan dihina sebagai pemakan rasuah tanpa apa-apa bukti atau keterangan.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Anwar semakin ‘terdesak’ kerana jelas PH kurang mendapat sokongan daripada rakyat semasa tempoh berkempen ini.

Ini satu pendekatan politik kotor kerana Anwar seolah-olah sudah kehabisan modal untuk melontarkan fitnah dan tuduhan tidak baik kepada Barisan Nasional (BN).

Setiap fitnah yang dilemparkan Anwar terhadap BN hanyalah cerita dongeng yang dicipta beliau bagi mencari alasan untuk keputusan PRU15 adalah tidak adil sekiranya PH kalah besar 19 November ini.

Banyak lagi perkara penting daripada berfikir untuk bermain politik kotor dan fitnah.

Malangnya, Anwar tiada agenda untuk membawa perubahan kepada rakyat dan hanya mementingkan diri sendiri untuk berkuasa di dalam Malaysia.