Jika betul Pakatan Harapan (PH) prihatin dengan masalah rakyat, kenapa masa zaman PH memerintah dahulu elaun nelayan kena potong, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut dakwaan ‘satu undi untuk Barisan Nasional (BN) bermakna satu undi diberikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi’ dan mendakwa PH kononnya prihatin terhadap rakyat.

“Dakwaan yang dimainkan oleh lawan BN ketika ini adalah bertujuan untuk mewujudkan sentimen benci kepada UMNO-BN

“Apabila PH berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH telah memotong elaun sara hidup nelayan dari RM300 kepada RM250.

“Adly Zahari yang ketika itu Ketua Menteri Melaka tidak mampu berbuat apa-apa untuk membela nasib nelayan di Melaka yang terkesan,” katanya kepada BN Comms hari ini.

Pemotongan elaun itu telah mengakibatkan lebih 40,000 nelayan terjejas dan Adly hanya berdiam diri daripada memperjuangkan nasib nelayan.

Selain itu, PH juga telah mengurangkan peruntukan elaun sara hidup nelayan dan intensif hasil tangkapan dalam bajet mereka daripada RM262 juta pada tahun 2018 kepada RM98.5 juta tahun 2019.

Di samping itu, Sharkar menekankan rakyat tidak akan lupa mengenai kes-kes yang digugurkan di mahkamah melibatkan pemimpin PH-DAP ketika mereka memerintah negara.

“Kes rasuah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan bekas Ketua Menterinya dari DAP, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung tuduhan rasuah pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Sebelum ini, Guan Eng berdepan dengan empat tuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai sehingga RM6.3 bilion.

“Kes fitnah Tabung Haji, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur daripada tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji di akaun Facebook miliknya,” ujar Sharkar lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kenyataan PH kononnya prihatin terhadap rakyat hanyalah bersifat memancing undi seperti yang dilakukan pada PRU14 yang lalu dan bertujuan membenihkan rasa kebencian rakyat terhadap BN.