Hasrat Perikatan Nasional (PN) meminta Barisan Nasional (BN) berehat dan beri peluang kepada gabungan itu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sangat tidak masuk akal.

Persoalannya adakah mereka gerun melihat kebangkitan BN dan semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan calon-calon BN dalam pilihan raya kali ini.

Baru-baru ini dalam satu ceramah, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah meminta BN berehat sedangkan kepimpinan BN lah yang dilihat sangat pragmatik dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Jika diteliti daripada semua aspek, apa lagi peluang yang perlu diberikan kepada PN setelah terbukti tempoh pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah yang paling singkat dan teruk ekoran gagal memerangi Covid-19 dan tidak peduli akan derita rakyat ketika itu.

Selain kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen, beliau turut digesa untuk meletak jawatan kerana tiada kredibiliti untuk terus mentadbir negara.

Malah tindakan Menteri Undang-Undang ketika itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang mengelirukan Dewan, sekali gus tidak bercakap benar kepada rakyat menjadi punca Muhyiddin dituntut untuk meletakkan jawatan.

Peraturan Mesyuarat 36 (12) memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan, disifatkan sebagai menghina persidangan.

Di samping itu, ketika pentadbiran Muhyiddin, tiga kali penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi menerusi Perintah Kawalan Pergerakan atau ‘total lockdown’ di seluruh negara sehingga melumpuhkan ekonomi negara waktu itu.

Perintah itu secara tidak langsung telah menjejaskan sumber pendapatan pelbagai sektor dan ribuan rakyat sehingga mereka mengalami depresi dan ada yang bertindak membunuh diri.

Kekalahan BN pada PRU14 lalu dilihat sebagai satu alternatif rakyat melihat perubahan yang boleh dibawa pimpinan lain.

Namun, terbukti pimpinan yang mempimpin negara selepas PRU14, gagal memuaskan hati rakyat, sebaliknya membebankan rakyat dengan mengurangkan dan menghentikan beberapa bantuan kepada rakyat.

Justeru, BN adalah pilihan terbaik pada PRU15 demi memulihkan semula ekonomi dan menyelamatkan Malaysia daripada pelbagai aspek demi generasi akan datang.