Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, pengundi diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan lama dengan mengundi Pakatan Harapan (PH).

Mantan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Harriz Mohan dalam rancangan Bicara Nasional petang hari ini berkata, sekiranya pengundi memberi laluan kepada PH untuk menerajui kerajaan Malaysia, DAP akan bertindak menghalang daripada mana-mana individu untuk menjadi Menteri Kewangan melainkan daripada parti berkenaan.

“Jadi, kita tidak boleh bagi peluang kepada PH. Jadi, saya haraplah pengundi-pengundi jangan ‘try and error again’, dalam menentukan nasib masa depan negara.

“Contoh saya nak bagi, katalah Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, DAP takkan bagi ruang kepada sesiapa kecuali DAP untuk pegang portfolio Kementerian Kewangan.

“Bayangkan pula Lim Guan Eng yang kononnya berlatar belakang akaun, apa yang dia buat. Dia dah tolak BR1M, dia janji nak bagi BR1M tapi dia mansuhkan dan ganti dengan e-wallet RM30, dengan alasan tiada duit,” katanya.

Justeru menurutnya, pengundi perlu memberikan semula mandat kepada BN untuk menerajui negara kerana negara memerlukan kestabilan politik.

Tambah beliau, ketika PH menjadi kerajaan di Putrajaya, Tun Mahathir yang juga merupakan Perdana Menteri PH ketika itu mengakui janji-janji yang ditabur oleh PH tidak boleh dilaksanakan.

“Kalau kita mempunyai kestabilan politik, kestabilan politik itu cukup penting. Ini bukan masa, dulu mereka menang sebab satu saja, sebab mereka (pengundi) mahu cuba pentadbiran baharu.

“Satu, semua janji mereka tidak boleh pakai dan Mahathir sendiri telah mengakui satu pun (janji) tak boleh pakai dan satu saja yang mereka laksanakan iaitu mansuhkan GST, itu pun dia umum untuk laksanakan semula,” katanya.