Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) kini mengambil kira pelbagai faktor dalam usaha untuk memulihkan negara sekali gus mencapai kemenangan demi memastikan kejayaan benar-benar tercapai.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan, perjuangan kali ini akan sukar difahami oleh sesetengah pihak, malah ada pihak yang tidak menyakini dan memperlelehkan perjuangan yang sedang di lakukan.

“Memang kadangkala dalam perjuangan ke arah kemenangan besar tidak semua kita boleh dedahkan strategi dan senjata sulit kita.

“PRN Melaka dan Johor membuktikan strategi kita berkempen dan membuat perubahan dalam pemilihan calon misalnya memberikan impak besar kepada keputusan pilihan raya. Sebelum kemenangan itu tidak kurang yang memperlekehkannya.

“Dalam menggabungjalin segala strategi ke arah kemenangan ini, perjuangan ini merentasi gender dan etnik. Dalam isu gender memang kita sedaya upaya memenuhi agar pengisian tersebut memenuhi permintaan wanita,” kata Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya.

Selain itu, beliau juga menegaskan BN akan melakukan pelbagai cara untuk memenuhi keperluan tersebut, namun masih ada bantahan dari pihak tertentu seperti calon lelaki yang tidak mahu memberikan laluan dan ingin mengekalkan kuasa seperti apa yang berlaku Padang Besar Perlis.

Calon wanita BN yang diletakkan di Tanjung Karang adalah salah satu usaha dalam mengiktiraf peranan perjuangan seorang wanita dan Zahid menyatakan harapannya agar parti lain juga akan melakukan hal yang sama.

“Namun dalam memastikan kemenangan perjuangan parti merentasi agenda gender maknanya peranan gender penting tapi aspek taktikal kawasan ditandingi calon juga merentasi faktor gender.

“Begitu juga soal etnik, pemilihan calon untuk memenangi sesebuah kawasan Parlimen tidak melihat warna kulit, etnik dan gender etnik.

“Sesiapa sahaja dilihat boleh menang dan memiliki ciri WALI akan dipertaruhkan untuk bertanding. Semua calon terbaik, namun ada nilai tambah yang perlu untuk penyegaran (revival) parti agar berdaya saing dan bercirikan politik generasi masa depan,” jelas Zahid.

Dalam masa yang sama, beliau berpendapat perjuangan manusia adalah satu hal yang merentasi warna kulit dan biologi dimana ianya tidak akan menimbulkan isu kononnya bias gender mahupun warna kulit.

Perkara itu menjadikan senjata polituk mekanisme terbaik dalam mempertimbangkan pelbagai aspek untuk mendapatkan kemenangan. Zahid mengakui sebarang strategi kemenangan yang diguna pakai merupakan satu langkah taktikal parti namun ianya tidak menghalalkan mana-mana parti melontarkan fitnah besar.

“Namun adalah tidak benar, propaganda malah suatu fitnah besar dilontarkan kononnya pemimpin parti mahu mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada PH. Sedangkan semua parti mahu kemenangan besar termasuk parti baru bertanding.

“Fitnah terdesak ini datangnya pemimpin yang selalu menggunakan agama untuk berkuasa dalam politik tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar. Terlalu mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju seperti Amanat pernah dikeluarkan pada tahun 1981,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Zahid sekali lagi menegaskan UMNO-BN akan terus memilih kesederhanaan dalam politik yang sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia di samping menjadikan kemenangan besar sebagai wadah penting yang terbukti mampu menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara.