Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan persepsi luar kononnya berlaku perpecahan dalam UMNO adalah tohmahan semata-mata untuk melihat parti itu terus berpecah belah.

Naib Presiden UMNO itu menambah, tiada pergeseran yang berlaku antara beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana solidariti menjadi kekuatan Barisan Nasional (BN), sekali gus menjamin parti terus memimpin negara.

“Persepsi luar mendakwa berlakunya perpecahan dalam UMNO, maka saya bincang bersama Presiden untuk hentikan tohmahan ini.

“Jangan biarkan UMNO diadu domba oleh pembangkang yang mahu lihat kita berpecah dan sekarang kita mesti bersatu biar mereka rugi,” kata Ismail ketika berucap pada Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Perak hari ini.

Tegas beliau, nawaitu yang mesti dipegang oleh semua ahli BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah melakar kemenangan yang besar.

Mengulas berkaitan pembubaran Parlimen, Ismail menegaskan pembubaran tersebut telah pun diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beliau mempersoalkan laporan yang dibawa ke mahkamah oleh pembangkang.

“Kalau PM buat permintaan untuk bubar, Agong ada kuasa untuk menolak atau perkenan. Jadi Baginda perkenan. Bila perkenan, bubarlah Parlimen.

“Yang mereka bawa dalam mahkamah, mereka mempersoalkan kuasa siapa? Yang mereka nak cabar di mahkamah, mereka nak cabar kuasa siapa kerana itu adalah kuasa Agong kerana kuasa terakhir memutuskan adalah kuasa Agong,” jelas Ismail.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan, tujuan utama PRU15 bukan semata-mata mahu merekodkan kemenangan besar sebaliknya melahirkan keyakinan untuk menang.