PH perlu hentikan beri manifesto tak masuk akal hingga bebankan rakyat
Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti menggunakan pendekatan populisme dalam berpolitik sehingga memberi manifesto yang tidak masuk akal malah membebankan rakyat.
Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berpendapat agenda itu tidak wajar diteruskan kerana ia akan memberi impak dan kesan negatif kepada penjawat awam.
“Pasca PRU memerlukan pendekatan yang lebih realistik komprehensif dan kandungannya bersifat rasional dan praktikal.
“PH barangkali boleh memikirkan pendekatan yang lain tanpa mengecilkan apa yang ada kerana penjawat awam ini merupakan sistem penyampaian yang ampuh dan menjadi pengantara di antara agensi kerajaan dan masyarakat secara umumnya,” katanya kepada BN COMMS hari ini.
Mengurangkan penjawat awam bukanlah perkara yang wajar untuk dijadikan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana perkara ini membabitkan soal pekerjaan, soal masa depan dan soal pembinaan sistem negara yang baik.
Selama pentadbiran PH selama 22 bulan telah dilihat bahawa mereka cuba untuk mengecilkan saiz penjawat awam namun begitu pelbagai tentangan dan kritikan daripada pelbagai pihak.
Ironinya bilangan 1.2 juta penjawat awam bukan satu angka kecil untuk dipinggirkan, sebaliknya penjawat awam menjadi penyumbang kepada sistem perkhidmatan negara.
“Ia boleh dilakukan jika memerlukan atau membabitkan kepada penjawat awam di bawah gred-gred yang tertentu.
“Tetapi gred di peringkat bawah saya rasa tidak wajar disentuh kerana gaji itu digunakan untuk ditampung keluarga dan juga perbelanjaan yang lain,” ujarnya.
Terdahulu, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk dipotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri sekiranya diberikan mandat pada PRU-15 ini. Malah berhasrat untuk mengurangkan gaji menteri-menteri lain.
“Bagi saya kita pernah melihat sebelum ini menteri-menteri pernah bersetuju untuk pemotongan gaji apabila berhadapan dengan suatu suasana persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan,” tambahnya.