Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan campur tangan keterlaluan Tommy Thomas yang dilantik pimpinan Pakatan Harapan (PH) seperti dapatan Pasukan Petugas Khas (PPK) boleh memberi imej buruk dan merosakkan sistem keadilan.

Beliau berkata, menerusi  pendedahan dalam laporan PPK, siasatan ke atas dakwaan dalam buku My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara itu membuktikan betapa besar bencana jika membenarkan PH kembali memerintah negara.

“Pendedahan PPK tentang Tommy amatlah mengejutkan. Ini adalah bukti betapa besar bencana membenarkan PH dan bekas sekutu mereka untuk memerintah semula.

“Pendedahan paling besar adalah bagaimana Tommy didapati telah mengatur pelantikan hakim-hakim utama negara.

“Ia termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada tahun 2018 dan 2019,” katanya dalam hantaran satu di Facebook hari ini.

Asyraf berkata, pelantikan hakim-hakim itu bercanggah dengan cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Akta ini dibuat pada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) bagi memastikan Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kuasa penuh dalam pelantikan hakim, sekali gus menaikkan imej kebebasan mahkamah,” katanya.

Campur tangan keterlaluan Tommy boleh memberi imej buruk dan mengurangkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman.

“Apatah lagi terlalu banyak kes pendakwaan politik pada zaman beliau menjadi Peguam Negara.

“Inilah beza besar antara pentadbiran Barisan Nasional (BN) pasca Perdana Menteri keempat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pentadbiran zaman PH.

Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan PH sebagai diktator yang mahu menguasai setiap cabang pemerintahan termasuk sistem kehakiman negara.

“Usaha-usaha mentransformasi dan membersihkan imej kebebasan sistem keadilan telah berjaya dilaksanakan pada zaman kita (pentadbiran BN).

“Tetapi PH umpama diktator yang melanggar undang-undang sedia ada demi menguasai setiap cabang pemerintahan termasuk sistem kehakiman kita. Inilah sebab besar untuk rakyat terus menolak PH dan bekas-bekas sekutu mereka. Tolak mereka demi negara,” katanya.