Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninggalkan Port Dickson dan bertanding di Tambun menggambarkan beliau tidak menjalankan tugasan dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.

Itu reaksi Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Annuar Ahmad yang mengulas lanjut mengenai isu Ketua Pembangkang yang akan bertanding di Parlimen Tambun.

“Memang secara realitinya bukan hanya Datuk Seri Anwar, tetapi ahli PKR yang lain pun akan buat perkara yang sama.

“Saya beranggapan Anwar juga akan dihukum pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini kerana dia tidak mengambil tanggungjawab sepenuhnya semasa menjadi Ahli Parlimen di Port Dickson,” katanya ketika ditemubual wartawan BN Comms hari ini.

Selain itu, beliau juga menekankan janji yang dilontarkan oleh Anwar kononnya akan memotong elaun dan gaji Menteri sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri (PM) adalah isu yang picisan.

Hal ini kerana, rakyat pada hari ini sudah faham dengan cara PKR dan Anwar bergerak demi mendapatkan undi daripada rakyat dan setiap percakapannya tidak akan memberi banyak impak.

“Kalau kita boleh suarakan, apa pencapaian Anwar ketika menjadi Ahli Parlimen di Port Dickson. Beliau tidak tidak memberi impak sangat kepada rakyat.

“Saya rasa perlulah pada ketika ini, rakyat menilai semula parti PKR ini sama ada perlu diberi tempat atau tidak. Rakyat perlu buat keputusan.

“Penting sekali, rakyat sekarang tidak mahu dengar orang cakap macam-macam namun tiada tindakan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan situasi PKR ketika ini tidak berpaksi kepada ‘walk the talk’ tetapi sebaliknya ‘talk and walk’ dan ianya dapat dinilai oleh rakyat sendiri.

Perkara itu dapat dilihat oleh mereka yang tidak berpihak pada mana-mana parti dan juga pengundi di atas pagar sekaligus boleh membuat penilaian.