Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tetap akan dilaksanakan walaupun terdapat beberapa negeri yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut laporan portal media, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan semua negeri mempunyai hak dalam membuat keputusan untuk pembubaran DUN pada bila-bila masa.

“Bagaimanapun, saya mencadangkan dan mengesyorkan jika boleh diadakan secara bersama (pembubaran Parlimen dan DUN) tetapi keputusan telah dibuat oleh enam negeri.

“Jadi PRU15 akan diteruskan seperti biasa,” kata Ismail dalam satu kenyataan yang dipetik kepada pemberita.

Beliau mengulas lanjut isu berkenaan selepas ditemui dalam majlis perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3, baru-baru ini.

Susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang kekal tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah, Ismail mengakui mengadakan pilihanraya yang berasingan bakal menyusahkan rakyat.

Hal ini kerana, rakyat terpaksa keluar mengundi sebanyak dua kali selain akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi untum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam masa yang sama, Ismail menegaskan keputusan Pas untuk mengekalkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) adalah hal yang sudah dijangkakan daripada awal.

Sehubungan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyebut beberapa kali dalam kenyataan beliau bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bergerak solo pada PRU15.