Rakyat baru sedar BN tawarkan kestabilan dan kemakmuran negara
Hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu menawarkan kestabilan dan kemakmuran kepada negara jika dibandingkan dengan parti-parti lain.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), mantan Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy juga menyuarakan keinginan mereka untuk menyokong BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ini kerana mereka semua sudah sedar dengan kemampuan BN untuk mentadbir negara.
“Saya kira Ikatan membuat satu keputusan yang bijak untuk menyokong BN kerana mereka percaya hanya BN parti yang boleh memberi dan menawarkan kestabilan serta menjamin kemakmuran kepada rakyat.
“Kita lihat tular berita mengenai sokongan Waytha Moorthy terhadap BN yang jelas menunjukkan beliau yang dulunya sangat marah dan menentang perjuangan BN dan UMNO kini sudah sedar dengan realiti,” katanya ketika ditemu bual wartawan BN Comms.
Asyraf Wajdi menambah, BN juga gembira untuk meraikan siapa jua yang berasakan BN adalah pilihan terbaik demi kemakmuran negara.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa BN adalah sebuah parti pelbagai kaum bermula daripada awal negara mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini.
Tambah Asyraf Wajdi, meskipun BN menampilkan imej Malaysia yang sifatnya majmuk tetapi asasnya masih berteraskan Islam dan Bumiputera.
“Inilah sebenarnya sifat Malaysia yang telah kita bina bersama selama lebih 60 tahun.
“Kita perlukan sebuah parti yang meraikan kemajmukan tapi terasnya mesti sentiasa berpaksikan apa yang menjadi cerminan kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam dan Bumiputera,” katanya.
Justeru, beliau menyuarakan harapan agar lebih ramai rakyat yang sedar potensi BN untuk menstabilkan negara dan sama-sama kecapi apa yang diharapkan oleh seluruh rakyat.