Rakyat Iskandar Puteri muak pemimpin ‘missing in action’
Rakyat di Parlimen Iskandar Puteri muak dengan sikap pemimpin yang hanya muncul apabila tiba musim Pilihan Raya Umum (PRU).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemimpin bermusim menjadi satu pengalaman buruk buat penduduk di sesuatu kawasan.
Ia merujuk kepada Veteran DAP, Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri selama dua penggal.
Katanya, rakyat khususnya di Parlimen itu mahukan seorang pemimpin yang bukan bermusim iaitu apabila berkempen beriya mahukan kemenangan tetapi apabila sudah menang tidak turun berkhidmat kepada masyarakat.
“Itulah yang dirasai masyarakat di Parlimen Iskandar Puteri selama 10 tahun.
“Saya yakin mereka sudah menyedari Ahli Parlimen yang hilang ini sepatutnya bersara. Jadi mereka akan letakkan calon baharu dan saya yakin calon baharu itu akan sama seperti individu sebelumnya, datang berkempen dan selepas menang akan hilangkan diri.
“Jika perkara itu berlaku, hanya pengundi dan rakyat kawasan terlibat akan mengalami kerugian dan bukannya parti politik atau pemimpin berkenaan sedangkan dia ‘missing in action’, hilang entah ke mana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Parlimen Iskandar Puteri di Skudai.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Operasi PRU Barisan Nasional (BN) Johor sebaliknya berkata, rakyat negeri ini memerlukan pemimpin yang akan kekal di kawasan dimenangi mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Ramalan kemelesetan ekonomi dunia berbaki beberapa bulan selepas PRU15.
“Buatlah pilihan yang tepat pada PRU15 yang amat penting dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.