Rakyat mesti tahu agenda pemimpin lompat parti – Razlan Rafii
Rakyat kena tahu budaya pemimpin yang melompat Parlimen ini kerana mereka melepaskan tanggungjawab di kawasan lama dan pergi ke kawasan baharu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii menekankan lawan Barisan Nasional (BN) menggunakan hasutan, jawatan dan menggunakan ikon kepada pembangkang untuk meraih undi.
“Untuk mereka yang lompat-lompat ni rakyat kena tahu budaya mereka memang macam tu. Selepas menang, dia akan pindah ke tempat lain.
“Sebagai contoh Nurul Izzah tidak ‘serve’ kawasan dia sendiri tapi dia dah pergi ke Pulau Pinang dan rakyat kena kenal orang yang suka lompat dan tak jaga kawasan,” kata Razlan dalam satu program Bicara Nasional, hari ini.
Mengulas lanjut isu berhubung Pemuda Pas yang menyatakan jika undi diberikan kepada BN dan Perikatan Nasional (PN) akan masuk neraka, beliau menjawab kenyataan seperti itu tidak mengejutkan kerana sudah diguna pakai sekian lama.
“Kita dengar setiap apa dikatakan. Pertama dia menjatuhkan hukum konon dia boleh menentukan syurga dan neraka. Bagi pandangan saya, ianya amat menduka citakan.
“Orang Islam sudah biasa dihina dengan hujahan seperti ini. Kita tak boleh mempergunakan agama untuk kekuatan kita, kita perlu guna kekuatan kita untuk kekuatan agama,” ujarnya.
Jelas beliau, sepertimana yang dilakukan BN untuk menjaga agama melalui manifesto PADU untuk mewujudkan Darul Quran bagi melahirkan cendekiawan yang boleh menjadi tahfiz.
Dalam masa yang sama, ianya juga dapat melahirkan generasi bijak pandai yang mampu mengkaji Al-Quran.
“Jangan kita lupa semua bantuan sekolah tahfiz telah diberhentikan dan bantuan sumbangan bagi NGO menjalankan ibadah telah diberhentikan.
“Banyak sekolah tahfiz yang sengsara sehingga minta bantuan daripada orang ramai. Apabila mereka buat begitu, kita ada inisiatif yang lebih baik untuk meneruskan agenda menaiktaraf tahfiz,” tambahnya lagi.