Bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memberi amaran kepada pengundi di Tambun supaya mengambil iktibar daripada janji-janji ditaburkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen di Port Dickson sebelum ini.

Dalam ceramahnya, beliau lantang mengkritik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai ‘pakar’ dalam membuat ucapan dan menabur janji-janji yang selama ini terbukti tidak terkota.

“Kalau kita dengar ucapan beliau (Anwar), babi pun boleh terbang, tak apa kita terima itu anugerah Allah kepada dia.

“Beliau juga berjanji nak jadikan Port Dickson sebagai Dubai Malaysia, dengan umpan ada kawan dari Turki, Saudi, China, dan India yang sanggup datang nak majukan Malaysia, itu pun karut sama sekali,” katanya Taman Muhibbah.

Anwar bertanding di kerusi Parlimen Tambun akan bertemu dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) yang merupakan penyandang kerusi itu iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga bekas Menteri Besar Perak.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menyeru masyarakat Tambun supaya tidak tertipu dengan janji-janji Anwar yang mempunyai hasrat untuk menang di kerusi Parlimen itu sekali gus menjadi Perdana Menteri.

Annuar juga berkata, perjuangan Anwar dalam PH juga amat bergantung kepada DAP yang diketahui umum mempunyai agenda sosialisme, liberalisme yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.