Rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kenyataan dikeluarkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang disifatkan mengandungi unsur hasutan dan mengelirukan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii tampil mengkritik kenyataan Rafizi berhubung setiap Projek Mega yang dijalankan oleh kerajaan mempunyai masalah dan hanya mendatangkan keuntungan kepada individu tertentu.

“Pada ceramah Ayuh Malaysia, Rafizi dengan terang berkata, sekiranya beliau dapat menjaga kerajaan, beliau tidak akan mengadakan projek mega kerana ia akan menguntungkan satu pihak. Beliau akan melaksanakan projek-projek kecil agar rakyat kebanyakkan mendapat manfaat.

“Walaupun semasa PH memerintah dan ada projek direct award dilaksanakan, ia berlaku kerana dibenarkan oleh Tatacara Kewangan. Namun ketika itu ia menjadi ‘halal’ kerana dibenarkan oleh Rafizi.

“Projek-projek ini juga bukanlah berjumlah kecil tetapi melibatkan ratusan juta,” kata beliau menerusi satu hantaran Facebooknya.

Razlan turut menyelar tindakan Rafizi yang tidak tahu meletakkan keutamaan kepada nyawa dan harta rakyat, sebaliknya hanya tahu menggunakan apa sahaja modal untuk menghasut.

“Ini telah berlaku sewaktu mereka (PH) memerintah negara, kabinet bergaduh berkenaan hala tuju pembangunan negara, projek-projek dibatalkan, malah ada projek baru tidak dapat dilaksanakan kerana sudah termakan kata mereka semasa berkempen.

“Rafizi menghasut rakyat berkenaan projek penyelesaian isu banjir dalam masa sama, PH memarahi kerajaan kerana banjir dan mengkritik kerajaan kerana sistem peparitan serta rakyat mendesak untuk keluar dari masalah banjir. Inilah kekeliruan yang ditimbulkan setiap waktu oleh Rafizi dan PH, ” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pengundi untuk menyedari sekiranya PH kembali memerintah selepas ini, mereka akan mengulangi kesilapan yang sama dan akan berterusan bertelegah menentukan sistem kewangan negara.

“Rakyat kena memilih dan menilai, kemajuan negara adalah kepentingan semua, pembangunan negara adalah kepentingan semua, dan semua ini memerlukan pelaburan negara berbillion demi mewujudkan prasarana yang baik serta ekosistem sosial maju.

“Semoga rakyat semua terhindar dari pemikiran hasutan dan rakyat perlu menilai dengan akal dan bukan emosi, menghasut adalah perkara yang mudah,” katanya.