Konsep kebersamaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jauh lebih baik jika dibandingkan dengan perjuangan hak sama rata Pakatan Harapan (PH) dan perjuangan hanya satu kelompok masyarakat oleh Perikatan Nasional (PN) mahupun GTA.

Menurut laporan sebuah media portal, ketika berada di bawah pentadbiran PH dan PN, negara mencatatkan sejarah paling teruk apabila prestasi bursa saham dan FDI jatuh merudum termasuklah kadar pertumbuhan GDP serta kadar pengangguran yang meningkat.

Hal sedemikian menjadikan Datuk Seri Shafie Apdal dan Tun Mahathir Mohammad tidak akan menerima jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai Perdana Menteri (PM) mereka.

Namun, demi meraih kuasa, rundingan tidak mustahil akan berlaku dengan mencalonkan sesiapa sahaja untuk menjadi PM sekali gus berlakunya pergolakan serta Langkah Sheraton yang pastinya berterusan berulang.

Dalam pada itu, dinyatakan juga keadaan ekonomi yang bertambah baik selepas pentadbiran diambil alih oleh Ismail di mana pengangguran yang melebihi paras 4.5 peratus telah berkurang kepada 3.8 peratus dengan status capai guna tenaga penuh.

Bagi GDP pula telah berkembang dengan kadar 8.9 peratus sekali gus menjadikan ianya adalah angka statistik yang tertinggi di seluruh ASEAN pada tahun 2022 manakala bursa saham kembali pulih pada kadar 1400 mata yang sebelum ini pernah jatuh rendah daripada 1200 mata.

“Konsep Keluarga Malaysia adalah falsafah pentadbiran yang paling adil dan terbaik dalam sesebuah negara majmuk yang didominasi oleh masyarakat bumiputera.

Politik berteraskan kepada kekeluargaan dan kebersamaan seharusnya menjadi pencetus masa depan Malaysia yang lebih indah bersama.

“GTA dan PN sebenarnya hanya terlalu fokus kepada satu segmen dalam masyarakat. Ini bukanlah lambang pembentukan semangat negara Malaysia yang sebenar,” menurut tulisan dalam media portal tersebut.

Penjelasan tersebut menunjukkan jurang perbezaan dengan UMNO walaupun parti itu adalah parti politik Melayu, namun secara holistik mereka masih berlandaskan kepada perjuangan BN yang berpegang kepada segmen masyarakat.

Berbeza pula dengan PH yang membawa fahaman terlalu liberal dan pluraslisme dalam perjuangan Malaysia ataupun hak sama rata semua pihak di mana akan mencetuskan kepada ketidakstabilan kaum kerana golongan majoriti akan merasakan hak mereka kononnya dirampas oleh golongan minoriti.