Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Said Harull membidas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dahulu memenuhi janji-janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana beliau bukan Perdana Menteri selama tempoh berkenaan.

Tambah Anwar dalam kenyataan tersebut seperti yang dilaporkan media, jika bekas Menteri Kewangan tersebut jadi Perdana Menteri, beliau akan menunaikan semua janji-janji yang ditawarkan ketika kempen PRU14.

“Dia lupakah bahawasanya ketika itu Timbalan Perdana Menteri adalah isteri beliau, ahli-ahli kabinet juga adalah terdiri daripada ahli-ahli Pakatan Harapan.

“Memanglah kamu itu tidak jadi Perdana Penteri tetapi langkah pertama yang Pakatan Harapan buat ketika menang dahulu adalah dapatkan pengampunan dan bebaskan kamu supaya kamu boleh menyumbang kepada Pakatan Harapan.

“Sesudah itu dikosongkan pula kerusi Port Dickson supaya kamu boleh bertanding dan jadi ahli Dewan Rakyat.

“Semua langkah ini untuk apa? Supaya kamu boleh terlibat dalam pentadbiran negara ketika pemerintahan Pakatan Harapan,” kata Said menerusi Pentas BN malam tadi.

Said turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia keluar mengundi, dalam masa yang sama tidak memberikan undi kepada Anwar dan pakatan politiknya agar negara ini selamat daripada dirosakkan oleh kerajaan PH.

“Oleh itu, pada PRU15 nanti keluarlah mengundi dan jangan biarkan Anwar Ibrahim capai cita-citanya kerana satu undi kepada beliau merupakan satu langkah membawa kita kembali ke pangkuan kerajaan yang merosakkan negara,” katanya.