Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak Mei 2018 selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, menyaksikan rakyat semakin bijak menilai dan membuat perbandingan kerajaan mana yang mampu mengurus negara dengan baik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam rancangan Bicara Nasional malam tadi berkata, selepas PRU14, rakyat dapat melihat bagaimana pengurusan BN ketika menjadi kerajaan, berbanding kerajaan PH yang sebelum ini memberikan pelbagai janji kononnya mampu mentadbir negara jauh lebih baik berbanding BN.

Malah, satu juta peluang pekerjaan yang dijanjikan oleh kerajaan PH juga ternyata gagal apabila 17 ribu kakitangan awam kontrak telah ditamatkan perkhidmatan sejurus mereka mengambil alih kerajaan.

“Kita pilihan raya pada 9 Mei 2018, kemudian beberapa hari selepas itu kita mula puasa. Di saat bulan puasa itulah hampir nak raya 17 ribu kakitangan terutamanya kontrak daripada rakan kita di JASA, BTN, rakan kita di pelbagai sektor perkhidmatan kerajaan ditamatkan perkhidmatan.

“Kemudian rakyat mendengar lagi bagaimana pengumuman-pengumuman saraan dan pencen yang bakal ditiadakan. Jadi keluh kesah semakin tumbuh dan mereka melihat peluang pekerjaan satu juta bukan pengisian kepada pekerjaan bahkan penamatan daripada pekerjaan dan sebagainya.

“Tambah-tambah disaat mahu menyambut hari raya, di saat anak-anak mahu pakai baju baharu, mak bapa di kampung halaman menunggu kepulangan anak dan menantu, cucu kesayangan untuk menyambut hari raya. Tapi saat dan ketika itu mereka pulang dengan jawatan dan pangkat yang hilang,” katanya.

Justeru, akibat daripada kegagalan kerajaan PH tersebut, rakyat dapat melihat perbandingan antara kerajaan BN dan kerajaan PH ketika memerintah negara.

“Di depan mata kita ada perbandingan yang dapat dilihat dan rupa-rupanya kebencian yang kita sebut tadi untuk rakyat melihat dan menilai.

“Saya yakin bahawa apa yang berlaku di PRN Melaka dan PRN Johor, dan begitu juga yang berlaku di Sarawak, pola pengundian dan juga pemilihan parti-parti yang memerintah dan jumlah undi yang didapati oleh Barisan Nasional memperlihatkan bahawa rakyat melihat dan menilai kepada perkembangan tadi.

“Harapan kita nanti rakyat kekal dengan momentum sedia ada, kekal pegangan konsep yang sedia ada bagi memilih pada PRU15 akan datang,” tambahnya lagi.