Pemimpin UMNO bertanding menggunakan parti pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal berhadapan tindakan daripada Lembaga Tatatertib UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib jelas melanggar perlembagaan UMNO dan BN.

“Kepada rakan-rakan yang sudah keluar dan mengikut kepada parti sudah tentulah peraturan yang telah disediakan oleh parti itu, kita kira bahawa semua orang tahu dah peraturan-peraturan yang terkandung atau pun peraturan yang menjadi perlembagaan kepada BN.

“Kita cakap macam itu dulu sebab kita sekarang ini sedang menghadapi pilihan raya tapi semua orang sudah tahu bahawa kedudukan tiap-tiap daripada kita ini, sebab kita adalah ahli BN dan ahli parti dalam komponen BN, memang jelas melanggari,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita di Padang Terap malam tadi ketika menghadiri program Persembahan Wayang Kulit masyarakat Siam.

Terdahulu Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Ismail yang menjawat jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diumumkan akan bertanding atas tiket PN pada PRU-15 kali ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu bagi PRU-15 di Marang, Terengganu malam tadi.

Sebelum ini, kedua-dua pemimpin UMNO yang menang dalam PRU-14 itu digugurkan dari senarai calon mewakili BN seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.