“Biarpun Parlimen Lenggong dianggap sebagai kawasan Barisan Nasional (BN), ini bukan tiket untuk saya mengambil mudah.”

Itu antara peringatan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah selepas selesai proses penamaan calon Parlimen Lenggong di Pejabat Daerah Lenggong hari ini.

“Kerja kuat mesti dilaksanakan kali ini.

“Kita mesti kekal fokus untuk mendekati dan merayu pengundi agar mengundi BN,” kata beliau menerusi satu hantaran Facebooknya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menyeru jentera BN Lenggong agar bersedia melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebagaimana yang telah dirangka dengan sebaiknya.

“Saya meletakkan harapan tinggi kepada semua jentera BN Lenggong, di semua peringkat bagi melaksanakan tugas sebagaimana yang telah disusun.

“Saya akan menemui pengundi seramai mungkin dalam tempoh kempen sebelum 19 November ini,” ujarnya.

Pada PRU14,  Shamsul berjaya menewaskan parti lawan dari Pas, Muhd Mujahid Mohd Fadzil dan dari PPBM, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin dengan majoriti undi sebanyak 5,773 undi.

Untuk rekod, beliau telah menyandang kerusi Parlimen Lenggong selama 14 tahun iaitu sejak tahun 2008.