Tawaran TPM peluang terbaik untuk rakyat Sabah, Azis jangan sempitkan fikiran
Menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam keadaan sekarang ini adalah yang terbaik untuk rakyat di Sabah, kata ADUN Sabah Datuk Raime Unggi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut kenyataan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman yang kononnya rakyat Sabah tidak mahu jawatan TPM seperti yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN).
“Ini satu kebaikan untuk rakyat Sabah dan demi untuk memurnikan MA63 kita. Kita ‘upgrade’ demi kebaikan Sabah.
“Hubungan dengan Kerajaan Persekutuan haruslah selari dan sefahaman kerana agenda Sabah ialah demi pembangunan yang seimbang, berbanding dengan negeri di semenanjung yang jauh melebar,” katanya kepada wartawan BN Comms ketika dihubungi, hari ini.
Dalam masa yang sama, katanya Sabah memerlukan pembangunan dari aspek hospital, pelajaran, dan juga pengajian tinggi malah dengan tawaran TPM melalui konteks BN ianya bermaksud negeri tersebut akan dijaga serta diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan.
Menyelar dakwaan Azis yang kononnya dengan tawaran TPM menjadikan tidak ada wakil dari Sabah yang akan menjadi PM, selar Raime sebenarnya Aziz sendiri tidak layak memegang jawatan itu.
“Orang Sepanggar perlu tolak pemimpin yang berfikiran begini kerana pemikiran tersebut bukan membawa ke arah kemakmuran kestabilan tetapi membawa kepada kehancuran negeri.
“Kenapa dia tidak fikir akan datang kemungkinan politik akan berubah, dan mungkin Sabah akan di’upgrade’. Tawaran TPM adalah permulaan yang kita terima baik,” jelasnya.
Selain itu, Raime menzahirkan keyakinan terhadap BN yang dilihat akan memberikan komitmen tinggi untuk dalam mempertingkatkan usaha bagaimana BN akan mengambil alih semula tampuk pemerintahan Putrajaya.
“Kita ada Presiden, kiita ada PM yang mempunyai strategi untuk mengembalikan semula zaman BN kerana BN adalah parti yang terbukti dan tidak boleh disangkal.
“Janganlah sempitkan pemikiran. Patut dia berfikir satu hari nanti Sabah pun boleh jadi PM, Sarawak pun boleh, semenanjung pun boleh. Bukankah itu tawaran yang terbaik untuk kita,” tambahnya lagi.