Tempoh kempen 14 hari mencukupi – Ismail Sabri
Tempoh 14 hari berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah mencukupi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, parti-parti politik bertanggungjawab mengatur perancangan bagi memastikan tempoh yang diberikan SPR untuk berkempen semasa pilihan raya mencukupi.
“Tempoh 14 hari mencukupi. Kalau terlampau lama orang mengadu terlalu lama, penat kerja dan macam-macam.
“Jadi SPR dah tentukan, kita akur dengan SPR dan bekerja berdasarkan jumlah hari yang disediakan untuk berkempen,” katanya.
Tarikh pengundian bagi PRU15 telah diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani hari ini iaitu pada 19 November dan penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.
Justeru, tempoh berkempen telah ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 Nov sehingga pukul 11.59 malam, 18 November.