Tolak calon ‘mi segera’ – Tengku Adnan
Jangan pilih calon ‘mi segera’ yang tiba-tiba muncul pada saat pilihan raya.
Demikian kenyataan tegas penyandang empat penggal kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ekoran calon luar yang berhasrat untuk bertanding di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Lantas, tolaklah mana-mana calon ‘mi segera’, tiba-tiba muncul pada saat pilihan raya sedangkan selama ini susah senang sakit perit mereka ini tak pernah pun bertanya khabar, jauh sekali nak hulur bantuan.
“Kebijaksanaan rakyat penentu masa depan. Maka, jawapan itu nanti terjemahkanlah dalam kertas undi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan turut berkata, beliau mahu warga Putrajaya lebih bijak dalam menentukan wakil rakyat pada kali ini.
“Apa-apa pun parti politik yang diwakili waima tidak berparti sekalipun boleh mencalonkan diri bagi menjadi wakil rakyat sesuatu kawasan. Justeru, di sinilah kebijaksanaan para pengundi amat penting.
“Jangan salah pilih kerana natijahnya sepenggal dalam kemelut yang macam-macam. PRU inilah masa memilih setelah membuat penilaian dan penelitian berdasarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling, malah yang dirasai diri sendiri pun,” katanya.