Tolak politik nomad, undi BN demi kestabilan negara – Adnan Seman
Pemimpin UMNO akar umbi menyeru agar pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menolak calon-calon dan perti-parti politik yang mengamalkan politik nomad.
Dalam rancangan Pentas Barisan Nasional malam tadi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman berkata, pengamal politik nomad iaitu calon-calon yang melompat dari satu kawasan ke satu kawasan parlimen lain ini menunjukkan pelbagai kegagalan dalam parti mereka.
“Ia melambangkan mereka gagal melaksanakan tanggungjawab di kawasan (asal) mereka.
“Yang keduanya mereka tidak ada program jangka masa panjang bagi membangunkan kawasan yang mereka wakili kerana kalau mereka ada program jangka masa panjang sudah pastinya mereka mahu melihat perancangan program-program dirangka ini dapat dilaksanakan dengan baik.
“Apabila calon sering berubah-ubah, mereka bukan sahaja tidak ada perasaan yang begitu dekat dengan kawasan yang mereka wakili malah calon baharu yang menjadi wakil di tempat itu kalau mereka menang mereka perlu mengambil masa untuk mendalami, memahami sosiopolitik keadaan masyarakat di kawasan itu,” katanya.
Tambah Adnan, calon yang juga bukan merupakan anak tempatan di sesebuah kawasan yang bakal diwakilinya merupakan suatu pembaziran masa kerana perlu mengambil masa untuk memahami keadaan sebenar di kawasan tersebut.
Justeru, beliau menegaskan agar memilih calon anak tempatan yang jauh lebih memahami masyarakat di kawasan yang akan diwakilinya.
“Tolak politik nomad ini, kerana kita mahukan calon yang dipilih adalah merupakan calon-calon yang begitu dekat dengan masyarakat di kawasan itu. Calon yang terbaik tentulah anak tempatan, mereka membesar di kawasan itu, mereka memahami kawasan itu, mereka ada perasaaan dan jiwa yang dekat dengan kawasan yang mereka wakili.
“Dengan itulah mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dengan penuh kasih sayang dengan penuh jiwa mereka untuk kawasan yang mereka wakili dan itulah tempat mereka membesar itulah tempat mereka bermastautin dan sebagainya,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas berkenaan cabaran ekonomi dunia yang bakal melanda pada 2023, Adnan menyeru agar rakyat negara ini memilih Barisan Nasional sebagai kerajaan.
“Sebab itulah kita harus membuat pilihan yang tepat pada PRU15, kita harus memastikan parti yang menang iaitu Barisan Nasional, parti yang tidak ada masalah dalaman antara parti-parti komponen.
“Sebagai parti yang telah ada pengalaman, ramai barisan kepimpinan mereka yang kompiten yang mampu menggalas tugas sebagai menteri dan juga menteri kabinet dalam negara bagi memastikan segala dasar negara dapat dilaksanakan denagn baik.
“Barisan kepimpinan ini bukan sahaja dapat keyakinan daripada kakitangan awam sebagai pelaksana dasar tetapi mereka juga dapat keyakinan daripada rakan sejawat di luar negara apatah lagi dikalangan pelabur dunia,” katanya lagi.