‘Tular surat fitnah sengaja burukkan saya’- Shamsul Anuar
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BNComms), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menafikan surat yang ditandatangani seperti yang ditularkan.
Beliau juga menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tindakan pihak yang menyebarkan kenyataan palsu tersebut sebagai fitnah untuk memburukkan imej beliau dan kepimpinan terbabit.
“Disahkan bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar.
“Tiada sebarang akujanji sebegini dilakukan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, perkara ini merupakan usaha jahat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, hal itu jelas menunjukkan ianya adalah perancangan yang sengaja dilakukan untuk memburukkan UMNO-BN ketika musim Pilihan Raya Umum (PRU) ini.
Justeru, beliau berharap agar rakyat Malaysia yang memperolehi kenyataan palsu ini tidak terpengaruh dengannya.
“Pihak saya amat kesal dengan permainan politik sebegini,” katanya.