UMNO bukanlah ‘parti dinosour’ seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan semua pihak bersedia memberi laluan kepada barisan kepimpinan muda untuk memimpin dan sekaligus menafikan dakwaan yang tersebar.

Mengambil contoh kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, beliau berkata, meletakkan calon muda ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mendominasi keputusan pilihan raya kedua-dua negeri tersebut.

“Saya yakin barisan kepimpinan muda sudah bersedia untuk bertanding di PRU15 nanti.

“Generasi kini lebih terbuka dan bijak mengatur strategi bagi memastikan kestabilan dan pembangunan negara.

“Pemilihan calon muda juga adalah untuk memastikan parti tidak hanya statik kepada landasan asal malah melakukan perubahan bagi langkah matang untuk menarik minat pengundi muda,” katanya kepada BNCOMMS hari ini.

Dalam pada itu, Razlan juga menyifatkan sayap dalam UMNO seperti Pergerakan Pemuda dan Puteri antara aset parti dan memiliki pemimpin yang berkebolehan untuk dibawa ke hadapan.

Mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh yang tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau menyifatkan Idris adalah seorang yang berjiwa besar kerana memberi laluan kepada pemimpin muda untuk bertanding kali ini.

“Ramai yang tuduh UMNO parti kuno. Hakikatnya kita sentiasa membuka jalan kepada calon-calon yang lebih muda.

“Beliau (Idris Jusoh) memang seorang yang berjiwa besar. Saya sangat berterima kasih kepada beliau kerana memberi laluan kepada calon muda. Apa yang penting, matlamat yang kami semua perjuangkan adalah sama,” jelas beliau.