Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan pengguguran keahlian empat ahli UMNO yang bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15, sebaik pencalonan mereka diterima Suruhanjaya Pilihan Raya pada Sabtu lalu.

Empat ahli tersebut ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Padang Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau), Datuk Sri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis.

“Dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO, Bahagian yang berkenaan.

“UMNO juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Ahmad Maslan menambah, pengguguran keahlian keempat-empat ahli ini adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO, yang dengan jelas menyebut ‘Seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya’.