UMNO Terengganu bertegas akan kekal dengan pendirian untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.

Menurut laporan portal media, Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad menyatakan pendirian bergerak solo dan tidak akan bekerjasama dengan Pas merupakan keputusan bersama oleh barisan kepimpinan parti negeri tersebut.

“Di Terengganu, pendirian kita setakat ini tidak berubah. Kita masih dengan ketetapan yang diputuskan sebelum ini di mana UMNO Terengganu memutuskan untuk bertanding secara solo.Tiada kerjasama dengan Pas.

“Tiada istilah Muafakat Nasional (MN) di Terengganu. Sebelum ini, kita ada MN tetapi selepas Pas berbaik dengan Bersatu, MN di Terengganu telah lama ‘terkubur’,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari media.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini Pas mengeluarkan kenyataan musuh mereka bukan UMNO pada PRU15 nanti namun ianya tidak merubah pendirian kekal UMNO Terengganu untuk terus berkempen secara solo.

Menurutnya, kempen itu juga akan tetap fokus kepada Barisan Nasional (BN) sahaja namun mengakui akan akur sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi UMNO nanti juga.

Begitu juga dengan kedudukan beliau apabila ditanya media samada akan kekal bertanding dan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, semuanya bergantung kepada keputusan parti.

“Tidak semestinya saya dilantik sebagai calon, tetapi apa yang kita perjuangkan ialah kita mahukan kerajaan yang stabil, pelaburan kerja terbuka kepada anak-anak Terengganu.

“Kita lihat banyak hal berkaitan pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional merugikan kita,” katanya lagi.

Selain itu, cabaran Pas yang menyatakan mereka akan melawan UMNO di Pahang dan Perlis sekiranya tiada kerjasama antara 2 parti tersebut juga tidak menganggu-gugat pendirian UMNO untuk terus bergerak sendiri.

Tegas Nawi, pengisytiharan tersebut menjadikan UMNO di Pahang dan Perlis perlu bersedia lebih awal untuk tidak ada lagi MN bersama Pas.

“Di Terengganu, Pas akan lawan BN, BN akan lawan Pas. Kita yakin PRU ini kita mampu menangi hati rakyat kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor membuktikan rakyat telah mula balik dan menyokong kita semula termasuklah di Terengganu,” ujar beliau.