Usul calon PM bukti solidariti akar umbi UMNO kepada keputusan MKT
Keputusan menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan bukti sokongan bahagian kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, usul mereka bukan satu arahan atau tekanan daripada mana-mana pihak.
“Ini adalah keputusan UMNO Bahagian. Setiap kali usul atau mesyuarat atau ucapan penangguhan di bahagian, itu adalah keputusan bahagian.
“Apa yang dilakukan bahagian adalah menurut apa diumumkan presiden dan apa diumumkan MKT. Apa yang dilakukan adalah satu penekanan nak menunjukkan sokongan bahagian terhadap keputusan MKT dan cadangan presiden. tak timbul isu tekanan dari sesiapa,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada 152 bahagian tersebut.
Terdahulu, media melaporkan, sebanyak 151 daripada 191 Bahagian UMNO seluruh negara dilapor sebulat suara menyokong Ismail Sabri jika gabungan itu membentuk kerajaan selepas PRU15.
Usul berkenaan selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mesyuarat Agung luar biasa UMNO tempoh hari.