Wanita Barisan Nasional (BN) menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi BN yang menyatakan komitmen meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyatakan sokongan tersebut melalui kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

“Terima kasih di atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan kepada Wanita Barisan Nasional untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menerajui kepimpinan politik negara.

“Wanita Barisan Nasional telah mengenal pasti calon-calon wanita yang berkebolehan dan berpotensi untuk menang dalam PRU15,” kata Noraini.

Jelas Noraini, senarai nama yang dikenal pasti tersebut telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.

Beliau menyatakan harapannya selaku Pengerusi, agar calon-calon yang telah dikemukakan akan diterima baik oleh kepimpinan sekaligus membantu kemenangan BN dalam PRU15 yang mewakili golongan wanita. “Dengan kepercayaan yang diberikan ini, Wanita Barisan Nasional yakin, mampu memberikan sumbangan kepada parti dan meletakkan iltizam yang tinggi untuk terus berbakti kepada rakyat serta negara,” tambah Noraini lagi.